(Sejahtera dan semuga Allah berkati anda)
Di lelaman ini saya sajikan anda beberapa Hadith-Hadith Rasullullah yang dikumpulkan Ulamak terkemuka, iaitu Imam Nawawi. Semua Hadith-Hadith ini saya petik dari beberapa buku seperti Hidup Direda TUHAN, 40 Hadis Imam Nawawi dan sebagainya.
Hadith-Hadith di ruangan ini merupakan nasihat-nasihat Baginda untuk sahabat-sahabat dan umat-umatnya (termasuk umat Islam hari ini). Boleh kita jadikan pedoman meniti penghidupan kita setiap hari. Kesemua koleksi Hadith-hadith dari Imam Nawawi, juga diambil dari Imam Muslim dan Imam Bukhari yang mana diriwayatkan oleh sahabat-sahabat dan ahli keluarga Nabi saw
Niat dan Amalan
2. Sabda Nabi saw: “ Sesungguhnya Allah mengampuni umatku apa yang terdetik di dalam jiwa mereka, selagi belum dikerjakan atau dikatakan.” – Riwayat As-Sittah
Amalan yang Menunjuk-nunjuk
3. Abu Hurairah melaporkan, katanya: Saya pernah mendengar Rasulullah berkata, “ Allah yang maha mulia berfirman, ‘Aku adalah Tuhan yang satu, tidak memerlukan sebarang sekutu. Sesiapa melakukan amalan untuk selain daripadaKu, aku biarkan dia bersama sesuatu yang dia jadikan sekutuKu itu.” – direkodkan oleh Muslim
4. Abu Hurairah juga melaporkan, katanya: Rasulullah saw pernah berkata, "Sesiapa belajar ilmu agama bukan tujuan mendapatkan keredaan Allah, tetapi bagi mendapat kekayaan dan kedudukan di dunia semata-mata pada Hari Kiamat nanti dia tidak mencium bau syurga.” – direkodkan oleh Abu Daud
5. Abu Zar melaporkan, katanya: Rasulullah saw pernah ditanya, “Apakah pandangan tuan ada individu yang berbuat baik, kemudian orang ramai pun memujinya?
Jawab Rasulullah, “Itulah pendahuluan berita baik bagi orang yang beriman.” – direkodkan oleh Muslim
Berbuat Baik kepada Makhluk
6. Shadad bin Aus melaporkan, Nabi Muhammad saw berkata: "Allah mewajibkan kita semua berbuat baik dalam semua perkara. Oleh itu apabila saudara membunuh, bunuhlah dengan cara paling baik. Apabila saudara menyembelih, sembelih dengan cara paling baik. Setiap orang hendaklah menajamkan pisaunya supaya haiwan yang disembelih mati dengan cara yang baik." - direkodkan oleh Muslim
7. Abdullah bin Umar meriwayatkan Rasulullah saw pernah berkata: "Seorang perempuan diseksa di dalam neraka kerana mengurung kucing sehingga mati. Dia tidak memberi kucing itu makan atau minum selepas dikurung dan tidak pula melepaskannya. Agar kucing itu dapat makan serangga atau binatang kecil yang melata di bumi." - direkodkan oleh Bukhari & Muslim
8. Abdullah bi Umar melaporkan Nabi Muhammad saw pernah berkata:"Sesiapa yang menyebat ataupun menampar hambanya kerana kesalahan yang tidak pernah dilakukan, denda ganti ruginya adalah membebaskan hamba itu." - direkodkan oleh Muslim
9. Abu Ali atau nama sebenarnya Suwaid bin Muqarrin melaporkan, katanya ' Saya adalah salah seorang daripada tujuh beradik keluarga Bani Muqarrin. Kami hanya ada seorang hamba perempuan. Adik bongsu kami pernah menamparnya, lalu Rasullullah menyuruh kami membebaskannya.' - direkodkan oleh Muslim
10. Abdullah bin Abbas juga melaporkan, katanya 'Rasulullah melihat seekor keldai yang bertanda pada mukanya. Baginda tidak setuju dengan perbuatan yang dilakukan pada keldai itu. Ibnu Abbas berkata lagi, 'Demi Allah! Saya hanya akan menanda haiwan pada bahagian paling jauh daripada mukanya.' Ibnu Abbas pun menyuruh ditandakan pada bahagian dua pinggul keldainya.' - direkodkan oleh Muslim
11. Abdullah bin Abbas melaporkan, 'Rasullullah melarang kita menampar muka seseorang dan beliau juga melarang kita membuat tanda pada muka binatang.' - direkodkan oleh Muslim.
12. Anas bin Malik, pembantu peribadi Nabi Muhammad saw. pernah bersabda: "Tidak ada sesiapa antara saudara sekelian dianggap sempurna imannya, melainkan dia suka saudara seagamanya mendapat sesuatu yang dia sendiri suk bagi dirinya sendiri." -direkodkan oleh Bukhari dan Muslim
Pesanan - Untuk Kaum Lelaki dan Wanita
13. Allah berfirman, "Katakanlah wahai Muhammad kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka merendahkan pandangan mereka daripada memandang perkara yang haram." Surah An-Nur, ayat ke 30.
14. Abu Said Khudri melaporkan, 'Nabi Muhammad saw pernah bersabda, "Hindarkan diri kamu dari duduk-duduk di tepi jalan." Sambung Baginda lagi, "Jika saudara-saudara perlu duduk, jagalah hak-hak di jalanan. Sahabat-sahabat bertanya, 'Apakah hak-hak di jalanan? Rasullullah menjawab, "Menjaga pandangan daripada melihat yang dilarang, tidak mengganggu orang, menjawab ucapan salam, menyuruh orang berbuat baik dan menegah perkara yang dilarang agama." -direkodkan oleh Bukhari dan Muslim
15. Abu Said Khudri melaporkan, 'Rasullullah saw pernah berkata, "Orang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan lain. Orang lelaki tidak boleh berbaring dengan lelaki lain dalam satu selimut dan orang perempuan tidak boleh berbaring dengan perempuan lain dalam satu selimut." -direkodkan oleh Muslim
Hakcipta Terpelhara oleh
Asmahani (30 Sep 2020)
No comments:
Post a Comment